Pages

Wednesday, July 27, 2011

Solat Sunat Tarawih

Pengertian Solat Tarawih

Erti Tarawih ialah duduk bersenang-senang atau beristirehat. Solat Tarawih bererti solat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas solat fardhu Isya'. Biasanya duduk berehat setelah mengerjakan empat rakaat solat Tarawih, sebelum disambung semula.

Tujuan utamanya ialah untuk memberi peluang dan galakan kepada umat Islam supaya suka mengisi waktu yang terluang di dalam bulan ramadhan, dengan ibadat-ibadat sunat seperti solat Tarawih, solat witir dan membaca al-Quran, berzikir dan lain-lain.

Aisyah r.a meriwayatkan: " Rasulullah s.a.w solat (Tarawih) empat rakaat pada waktu malam, setelah itu beristirehat. Baginda duduk lama sehingga saya kasihan melihatnya. saya berkata kepadanya: "Demi Allah wahai Rasulullah! Dosa-dosamu telah diampuni Allah, sama ada dosa yang terdahuludan yang terkemudian; maka untuk apakah tuan bersusah payah solat seperti ini? Baginda menjawab: Bukankah lebih baik kalau aku menjadi hamba yang bersyukur?"

Qiamu Ramadhan

Solat tarawih juga disebut dengan Qiamu Ramadhan. Solat ini dikerjakan selepas umat Islam mengerjakan solat fardhu Isya' dan waktunya berkekalan sehingga akhir malam. Sebuah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud bahawa sesiapa yang mengerjakan Qiamu Ramadhan (solat Tarawih) dengan penuh keimanan dan ikhlas mengharap ganjaran dari Allah, maka Allah mengampunkan segala dosanya yang telah lalu.

Istilah Qiamu Ramadhan juga dimaksudkan bahawa umat Islam sewajarnya menghidupkan suasana malam di sepanjang bulan Ramadhan dengan mengerjakan solat, iktikaf dalam masjid berzikir dan seumpamanya. Sangatlah ruginya mereka yang tidak mahu merebut peluang meraih pahala dengan beribadat solat Tarawih setahun sekali ini. Sesungguhnya bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat mulia dan penuh keberkatan.

Sejarah Solat Tarawih

Sejarah solat sunat Tarawih ini dimulai oleh Rasulullah s.a.w di Masjid Nabawi. Menurut baginda Rasulullah s.a.w mengerjakan solat Tarawih ini di masjid, lalu para sahabat mengikutnya. Pada malam berikutnya baginda mengerjakan lagi solat Tarawih di masjid, dan para sahabat semakin ramai datang dan mengikutnya.

Pada malam yang ketiganya lebih ramai lagi para sahabat telah sedia menunggu ketibaan Rasulullah s.a.w di masjid. Tetapi baginda tidak hadir. (Baginda mengerjakan solat Tarawih itu di rumah). Esoknya Rasulullah s.a.w bersabda kepada mereka: " sesungguhnya aku melihat sambutan daripada kamu. Aku tidak hadir pada malam itu hanya kerana takut solat itu diwajibkan ke atas kamu." Jika solat tarawih itu difardhukan, tentulah sangat memberati umat Islam.

No comments:

Post a Comment